Search This Blog

Loading...

PM paling "berani"

Tiada ‘lampu hijau’ laksana hudud, tegas Najib

TERKINI @ 05:35:06 PM 24-09-2011
September 24, 2011
KUALA LUMPUR, 24 Sept — Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud — penegasan kedua oleh seorang perdana menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1994.

Ketika bercakap kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Tanjung Tualang di Perak hari ini, Perdana Menteri berkata, undang-undang Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan sebab kerajaan perlu realistik dengan situasi negara ini.


PM Najib: Penegasan diberikan oleh Tun Dr Mahathir pada 1994.
Najib berkata undang-undang berasaskan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan. 

“Undang-Undang hudud, tidak akan laksanakan di Malaysia ini tetapi kita terima ini adalah undang-undang Tuhan dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang Islam, kita terima hakikat ini tetapi jika ia hendak dilaksanakan ia mesti berpaksikan kepada realiti.

“Jika ditanya para ulama sekalipun, undang-undang Islam itu tidak boleh dilaksanakan melainkan kita sudah mengambil kira persekitaran dan realiti sebenar masyarakat ketika itu,” katanya dipetik Bernama Online.

Najib berkata kerajaan kini telah pun mengambil kira prinsip “Maqasid Syariah” iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Lagipun, matlamat sesuatu pentadbiran mengikut Islam ialah prinsip Maqasid Syariah yang antara prinsipnya ialah mempertahankan agama, nyawa, akhlak dan harta benda. Jadi dengan undang-undang yang sedia ada, prinsip maqasid syariah boleh dan mampu kita pertahankan,” kata Najib.

Beliau berkata matlamat sebenar perlu dicapai, yang antaranya memastikan rakyat dan negara ini sentiasa aman serta sejahtera.

Kelmarin, Nik Aziz menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sesuatu yang melucukan apabila meminta Menteri Besar Kelantan itu merujuk hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kepada pentadbiran Najib.

Nik Aziz berkata mengikut protokol pentadbiran negara mana-mana surat rasmi yang dihantar kepada perdana menteri tidak akan tamat tempoh kuat kuasa apabila penyandang semasa meletakkan jawatan.
“Saya tidak pernah mendengar dasar bahawa mana-mana surat yang dihantar oleh perdana menteri akan tamat tempoh kuat kuasa apabila perdana menteri tersebut meletakkan jawatan.

“Adakah semua perkara akan tamat tempoh dan perlu diperbaharui apabila berlaku peralihan perdana menteri? Lucu sekali cabaran Tun Mahathir . . . ,” kata Nik Aziz.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau juga memohon Najib agar menarik balik surat, yang dikeluarkan ketika pentadbiran Dr Mahathir menghalang pelaksanaan hukuman hudud, membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan langkah Nik Aziz, Mursyidul Am PAS, memutarkan kembali cerita lama mengenai hudud sebagai taktik parti itu bertujuan menagih perhatian rakyat.

Beliau berkata taktik ini dilakukan selepas parti itu menerima kritikan hebat daripada rakyat negara ini ekoran kenyataan Timbalan Presiden parti itu Mohamad Sabu yang mempertikaikan peranan anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong dan menyanjung pengganas komunis sebagai pejuang tanah air.

“Saya nampak ini taktikal, sebab parti PAS sudah menerima pukulan cukup hebat ekoran daripada kenyataan Mohamad Sabu yang menidakkan pejuang-pejuang nasionalis yang terbunuh dalam insiden Bukit Kepong dahulu. Ia telah menimbulkan kemarahan yang begitu dahsyat dalam kalangan orang Melayu.

“Mereka sedar bahawa sokongan kepada mereka dah merosot dengan begitu ketara, jadi mereka cuba timbulkan isu hudud ini dengan harapan bahawa isu Mohamad Sabu itu akan tenggelam dan cuba muncul sebagai parti memperjuangkan Hudud dan menawan hati orang Melayu,” katanya.

Najib berkata isu hudud ini turut memperlihatkan kemelut persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang sudah tidak dapat ditutup lagi dan beliau yakin rakyat bijak menilai kelemahan mereka.

Kata beliau, dalam soal undang-undang hudud telah timbul satu keadaan di mana perbezaan “ideologi mereka sudah tidak boleh ditutup lagi, tidak boleh diselindung di hadapan mata rakyat.”
“Saya berharap ini dapat disedari oleh rakyat, kita tidak boleh meletakkan harapan kepada satu gabungan yang tidak sehaluan daripada segi prinsip dan ideologi.

“Walaupun mereka cuba mengaburi mata rakyat, tetapi lambat laun ia akan timbul bukan sahaja daripada segi hudud tetapi juga pembahagian jawatan dalam ‘Kabinet Bayangan’ mereka. Mereka belum berani merangka Kabinet mereka,” katanya.

***********************************************************************************

  1. Ulama mana yang ditanya nie?
  2. Ni namanya istihar perang dengan tuhan nie ko tau tak PM.
  3. Kayu betulla ulama yang ditanya PM nie.
  4. Kapten kapal dah confirm kan kapal langgar tembok. So anak kapal apo pikir lagi?
  5. Sepatutnnya najib cakap dalam kajian ker, ataupun tgh mengumpulkan tenaga pakar. Pastu buat la skit2 untuk menegakkan hudud. jangan la salahkan kafir tak nak hudud.

Panduan ibadat ketika bermusafir

Persoalan Agama: Panduan, ibadah ketika bermusafir
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my
2011/05/08

BAGAIMANAKAH musafir mengikut cara Islam? Soalan kedua, apakah ada sebarang doa khusus untuk kereta baru?

HAMBA ALLAH,
Kuala Lumpur.
AL-HAMDULILLAH wassolatuwassalam ‘ala Rasulillah waba’d.

Apabila seseorang mula hendak musafir, disunatkan untuk ia bertakbir sebanyak tiga kali dan membaca doa berikut: “Subhanallazi sakhkhara lana haza wa ma kunna muqriniin wa inna ila rabbina lamunqalibun. Allahumma inna nas’aluka fi safarina hazal birra wattaqwa waminal ‘amali ma tardho. Allahumma hawwin ‘alaina safarana haza watwi ‘anna bu’dah. Allahumma antas sohibu fis safari wal khalifatu fil ahli. Allhuamma inni a’uzu bika min wa’thais safari wa kaabatil manzhori wa suuil munqalabi fil mali wal ahli. (Maksudnya: Maha suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.

Wahai Allah sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan, ketakwaan dan amal yang Engkau reda dalam musafir kami ini. Wahai Tuhan permudahkanlah segala urusan kami dalam musafir kami ini dan singkatkan kejauhan jarak musafir ini kepada kami. Wahai Allah, Engkaulah adalah teman dalam musafir dan pengganti bagi keluarga yang kami tinggalkan. Wahai Allah sesungguhnya saya berlindung diri kepada-Mu dari kesukaran dalam musafir, pemandangan yang menyedihkan dan buruknya kembali baik bagi harta mahupun keluarga kami).

Ketika selesai urusan dan hendak pulang, maka ucapkanla: “Aa’ibuuna taa’ibuna ‘abiduna lirabbina hamidun. (Maksudnya: Kami kembali dari perjalanan, bertaubat dari dosa kami, beribadat dan memuji Tuhan kami).
Apabila urusan sudah selesai, sunat untuk dia segera pulang sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musafir itu adalah sebahagian daripada azab yang mana seseorang itu hendaklah mengurangi makan, minum dan tidurnya. Oleh kerana itu, apabila salah seorang kamu sudah selesai urusannya dalam musafir, maka hendaklah ia segera kembali kepada keluarganya.

Apabila seseorang itu berhenti pada satu-satu tempat, maka hendaklah dia berdoa sebagai mana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, nescaya dia tidak akan diganggu sehingga ia meninggalkan tempat berkenaan. Doanya iaitu: “A’uzu bi kalimaatillahit-taam-mati min syarrima khalaq (Maksudnya: Saya berlindung diri dengan kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan yang Ia ciptakan).

Orang musafir diberi keringanan dalam melaksanakan solat fardu iaitu solat yang empat rakaat dapat diqasarkan (dipendekkan) menjadi dua serta dibolehkan untuk menghimpun (menjamak) solat Zuhur dengan solat Asar dan Solat Maghrib dengan solat Isyak.

Perkara itu disebabkan mereka dalam keadaan azab iaitu hilangnya ketenangan dan kerehatan.

Apabila seseorang dalam musafir dan menjelang waktu malam, maka hendaklah ia berdoa seperti diajar Nabi SAW iaitu: “Ya Ardhu rabbi wa rabbikillah, a’uzu billahi min syarriki wa syarri mafiki wa syarri ma khuliqa fiki wa syarri ma yadibbu ‘alaiki, wa ‘auzubiki min syarri asadin wa aswada waminal hayyati wal ‘aqrabi wa min sakinilbaladi wamin waalidin wama walada (yang bermaksud: “Wahai bumi, Tuhanmu adalah Allah, saya berlindung diri kepada Allah daripada kejahatanmu wahai bumi, kejahatan yang berada di perutmu, kejahatan makhluk yang berada di perutmu dan kejahatan binatang yang melata di atasmu. Saya berlindung diri denganmu dari kejahatan binatang buas, manusia, ular, kala jengking, segala macam binatang, serta dari Iblis dan syaitan).

Apabila seseorang baru datang dari musafir, disunatkan ia terus ke masjid dan solat sunat dua rakaat seperti yang disebut dalam sebuah hadis daripada Ka’ab bin Malik ra – Bahawasanya apabila Baginda datang daripada musafir, Baginda SAW terus ke masjid dan solat dua rakaat di dalamnya.

Kalangan perempuan tidak dibenarkan musafir kecuali bersama mahramnya seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis iaitu: “Tidaklah halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk musafir yang memakan masa sehari semalam kecuali bersama mahramnya.”

Disunatkan juga untuk memulakan perjalanan pada hari Khamis dan dilarang untuk musafir sekiranya bersendirian. Demikianlah antara adabnya, Wallahua’lam.

Bagi soalan kedua, Allah SWT berfirman dalam surah az–Zukhruf ayat 13 yang bermaksud: “Dan Dialah (Allah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya, dan Ia mengadakan bagi kamu kapal dan binatang ternak yang kamu dapat menggunakannya (bagi tujuan pengangkutan). Dan supaya kamu duduk tetap di atasnya serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan “Maha Suci Tuhan yang sudah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu membeli unta, maka hendaklah kamu memegang bonggol unta dan ucapkanlah:
“Allahuamma Inni As’aluka min Khairiha wa khairi ma jabaltaha ‘alaihi wa a’uzhu bika min syarriha wa syarri ma jabaltaha ‘alaihi. (Maksudnya: Ya Allah! Daku memohon kepada-Mu kebaikannya dan keberkatan. Daku memohon diri kepada-mu dari keburukan kenderaan ini dan keburukan tabiatnya).

INFO

Sebarang kemusykilan sila hantarkan soalan ringkas menerusi e-mel bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Wajib ganti puasa

Wajib ganti setiap puasa ditinggalkan

Utusan : 2011/07/03

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya tidak berpuasa beberapa hari kerana kedatangan haid pada bulan Ramadan. Ini berlaku beberapa tahun dulu dan saya masih belum menggantikannya. Adakah saya perlu menggantikannya dan dikenakan fidyah?
Nur, Kota Bharu, Kelantan.

Jawapan:

ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ‘ala rasulillah, waba’d.
Alah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagai mana diwajibkan atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

Sekiranya seseorang tertinggal beberapa hari puasa di bulan Ramadan, maka hendaklah dia menggantikannya sebelum tiba Ramadan yang baru. Dalam sebuah hadis yang riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah r.a berkata: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Syaaban tiba dan itu adalah kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.”

Menurut al-Hafiz Ibn. Hajar rhm: “Keinginan Aisyah yang tinggi untuk berpuasa pada bulan Syaaban adalah kerana syarak tidak membenarkan menangguhkan ganti puasa sehingga Ramadan yang baru tiba.

Seseorang yang melengahkan ganti puasa terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama, iaitu golongan yang berlengah atas alasan yang sah di sisi syarak seperti sakit yang berpanjangan. Jika keadaan ini berlaku, maka seseorang itu boleh menggantikan puasa walaupun selepas Ramadan yang kedua.

Golongan yang kedua pula adalah golongan yang tidak mempunyai alasan untuk melengahkan perkara itu.

Contohnya, dia berupaya menggantikan puasa tetapi tidak melakukannya sebelum Ramadan baru bermula dengan sengaja.

Golongan kedua ini berdosa kerana gagal menggantikan puasa tanpa alasan yang sah. Kalangan ulama bersepakat bahawa dia hendaklah menggantikan puasa.
Namun mereka berbeza pandangan sama ada dia kena menggantikan puasa di samping membayar fidyah atau tidak.

Imam Malik, Syafi’I dan Ahmad berpendapat bahawa mesti membayar fidyah di samping menggantikan puasa. Pandangan ini berdasarkan riwayat daripada beberapa orang sahabat seperti Abu Hurairah dan Ibnu Abbas RHM.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa tidak perlu membayar fidyah. Cukup hanya menggantikan puasa. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang memerintahkan agar orang yang tidak berpuasa, hendaklah menggantikannya sebagai dalil. Ayat ini tidak menyebutkan tentang pembayaran fidyah kepada orang miskin. Itulah pendapat yang dipegang beliau.

Imam al-Bukhari RHM. memilih pandangan yang kedua. Beliau berkata dalam kitabnya Sahih al-Jami’: “Ibrahim al-Nakha’i berkata bahawa jika seseorang lalai (tidak menggantikan puasa yang ditinggalkan) sehingga Ramadan baru, dia hendaklah menggantikan hari-hari yang tertinggal bagi kedua-dua tahun. Tetapi dia tidak berpendapat perlunya membayar fidyah bagi setiap hari yang tertinggal.

Ada juga petikan mursal daripada Abu Hurairah dan ibnu Abbas yang berkata bahawa dia perlu membayar fidyah.

Kemudian Imam al-Bukhari menyebut: “Tetapi Allah tidak menyebut mengenai membayar fidyah kepada orang miskin (melalui firman-Nya).”

Oleh itu, apa yang wajib ialah menggantikan puasa saja tetapi jika seseorang ingin lebih selamat dengan membayar fidyah di samping menggantikan puasa, itu lebih baik.

Jika anda melambatkan ganti puasa tanpa sebarang alasan, anda hendaklah bertaubat kepada Allah dan bertekad tidak akan mengulangi kesilapan ini akan datang. Demikianlah, wallahua’lam.

Rezeki anak

Persoalan Agama: Cegah kehamilan takut tak mampu tanggung anak tutup rezeki
Jawapan oleh Ustaz Zahazan
bhnews@bharian.com.my
2011/07/31

Soalan:

APAKAH maksud rezeki dan adakah rezeki itu semata-mata harta benda dan wang ringgit? Ada orang yang cuba sedaya upaya untuk mencegah kehamilan kerana bimbang tidak mampu untuk memelihara anak dan takut rezeki kurang. Apa pandangan ustaz mengenai perkara ini?
Ros, Kedah.

Jawapan:

Alhamdulillah wassoalatu wassalam ‘ala rasulillah. Rezeki yang Allah kurniakan kepada kita bukanlah semata-mata harta atau benda yang dihasilkan di bumi saja. Rezeki juga berupa kesihatan, kekuatan tubuh, keterampilan atau gerak langkah dalam kehidupan. Mungkin anda pernah menyebut: “Saya tidak dapat memberi sumbangan kerana saya tiada wang.”

Sebenarnya menyumbang boleh dengan pelbagai cara seperti tenaga, ilmu pengetahuan dan lain-lain yang semuanya untuk kepentingan masyarakat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 3 yang bermaksud: “Dan nafkahkanlah sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.” Maka erti rezeki pada ayat berkenaan iaitu segala apa yang dapat diambil manfaat oleh masyarakat.
Mengenai mencegah kehamilan, Allah SWT berfirman dalam surah al-Israk ayat 31 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kamilah yang memberikan rezeki kepada mereka dan kepada kamu...”.
Firman-Nya lagi dalam Surah al-An’aam ayat 151 bermaksud: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dan janganlah kamu membunuh anak kamu kerana kepapaan. (Sebenarnya) Kamilah memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.” Apabila Allah mengurniakan anak, sebenarnya ada rezeki Allah tentukan untuk anak terbabit.

Namun ada manusia yang tidak inginkan anak dengan mencegah kehamilan dengan alasan tidak bersedia dari segi mental dan kewangan. Orang seperti ini biasanya takut hidup susah dan takut kekurangan makan kerana dibebani kehadiran bayi. Mereka tidak sedar dengan melakukannya akan menghalang rezeki mereka dan turut menahan rezeki anak.

Kita banyak melihat orang yang meninggal dunia lalu meninggalkan anak. Hari berganti hari dan zaman pun berubah. Ternyata, anak yatim terbabit mencapai kedudukan yang tinggi dan mencapai puncak kejayaan dalam masyarakat. Mungkin kalau keluar-ganya masih hidup, anak berkenaan tidak akan mencapai kejayaan seperti itu.

Justeru, biarlah takdir Allah berjalan seperti semestinya. Kerjakanlah apa yang lebih utama dan lebih bererti dalam kehidupan ini. Kenyataan membuktikan betapa ramai anak yang hidup dalam pemeliharaan bapanya, gagal sehingga ada yang menjadi penganggur dan meresahkan masyarakat. Sebenarnya urusan rezeki adalah urusan Allah.

Jadi, janganlah kita terlalu takut mengenai rezeki atau kurang makan sehingga sanggup mencegah kehamilan.

Sekiranya kita miskin, mengadulah kepada Allah seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abu Daud daripada Ibnu Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tertimpa kemiskinan, kemudian dia mengadu kepada sesama manusia, maka tidak akan tertutuplah kemiskinan itu. Dan sesiapa yang mengadu kepada Allah, maka Allah akan memberinya rezeki baik dengan segera mahupun lambat.” Wallahua’lam

P-51 Mustang